"Saya puas hati dengan persembahan bertemu Perak. Cuma saya nampak ada sedikit sikap ambil mudah dan terlalu selesa selepas mendahului 1-0. Ia perlu diubah apabila bertemu FELDA United nanti.
Sentuhan jurulatih baru Selangor, Irfan Bakti Abu Salim (gambar) tampak berjaya menjadikan corak permainan Red Giants lebih menarik dan menghiburkan.
"Keduanya, saya bimbang dengan keadaan padang yang tidak rata di Stadium Hang Jebat. Harap ia tidak terlalu mengganggu perancangan taktikal kami," katanya ketika ditemui selepas aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam kelmarin.
Kemenangan tipis hasil jaringan Safiq Rahim pada minit ke-23 itu meletakkan Selangor di tangga ketiga Liga Super, empat mata di belakang T-Team (6) dan Negeri Sembilan (4).
Biarpun Selangor dijangka menggantikan penyerang import 'sakit', Lelo Mbele dengan pemain baru, Irfan nyata berpuas hati dengan kekentalan pertahanan import dari Lubnan, Ramez Dayoub.
"Ternyata kehadiran Ramez memperkuatkan pasukan. Selepas dua perlawanan, dia dilihat berjaya mengekang dua penyerang tinggi, Effa Owona dan Lazar Popovic," kata Irfan.


