Bosko Balaban berjaya memikat hati pengendali Selangor, Irfan Bakti Abu Salim untuk menyelesaikan masalah sentuhan penyudah yang dialami Merah Kuning.
Walaupun turun sebagai pemain gantian dan hanya beraksi kira-kira 55 minit, aksi Bosko Balaban berjaya memikat hati pengendali Selangor, Irfan Bakti Abu Salim untuk menyelesaikan masalah sentuhan penyudah yang dialami Merah Kuning dalam kancah Liga Super.
Walaupun gagal menjaringkan sebarang gol, Irfan Bakti tetap memuji pemain kelahiran Croatia yang dilihatnya mempunyai kemahiran dan teknik yang diperlukannya bagi menggantikan pemain import dari Congo, Lelo Mbele, "Saya puas hati dengan corak permainannya.
Saya akan menumpukan aspek kecergasan dalam baki beberapa hari sebelum saingan Liga Super bersambung selain persefahamannya bersama rakan sepasukan yang lain," katanya.
Pemain berusia 34 tahun yang pernah beraksi bersama Aston Villa, Dinamo Zagreb dan Ingolstadt 04 dinilai Irfan Bakti ketika aksi persahabatan Selangor menentang skuad Olimpik negara di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam kelmarin yang berkesudahan seri tanpa jaringan.
Selain Balaban, pengendali kelahiran Kelantan itu turut memuji aksi pemain simpanan dan Piala Presiden yang diturunkan terutamanya bagi mengisi kekosongan pemain utama yang menyertai kem latihan skuad kebangsaan.
Selangor kini menduduki tempat kelima Liga Super dengan lapan mata selepas mengharungi lima perlawanan, ketinggalan lima mata di belakang pendahulu liga, Kelantan.
Merah Kuning yang mensasarkan satu piala musim ini meneruskan aksi Liga Super menentang musuh tradisi, LionsXII di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini.