Serangan Selangor masih tumpul

Written By Team Selangor on Jumaat, 10 Februari 2012 | 2:43 PG


Serangan Selangor masih tumpulIrfan Bakti Abu Salim berharap masalah Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) penyerang import segera diatasi.

Kecewa dengan jentera serangan yang terus tidak menjadi, jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim berharap masalah Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) penyerang import baru dari Croatia, Bosko Balaban dapat segera diatasi.

Tanpa kelibat Balaban, 34, yang tidak dibenarkan beraksi kerana belum mendapat sijil ITC, skuad Gergasi Merah mensia-siakan peluang beraksi di laman sendiri apabila sekadar seri 1-1 ketika menentang LionsXII dalam pertembungan Liga Super kelmarin.


Bagi Irfan, apa yang boleh dirumuskan terhadap keputusan seri ketiga pasukannya musim ini tidak lain tidak bukan adalah ketandusan jaringan penyerang tempatannya.

"Memang kami kecewa kerana tidak dapat tiga mata sedangkan kami lebih menguasai permainan berbanding pasukan lawan. Pemain mengawal permainan dengan baik tapi bahagian serangan masih gagal menjaringkan gol," katanya.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selangor ketinggalan 0-1 pada minit ke-42 selepas kapten Singapura, Shahril Ishak menggelecek pemain pertahanan tuan rumah sebelum melepaskan rembatan dalam kotak penalti.

Namun mujurlah pemain tengah, K Gurusamy menjadi penyelamat maruah Selangor apabila rembatan deras dari luar kotak penalti berjaya menewaskan penjaga gol Lions XII, Izwan Mahbud untuk mengikat kedudukan 1-1 sebelum tamat masa pertama.

Ketika ditanya apakah jalan penyelesaian terbaik terhadap prestasi kurang memberangsangkan Selangor ketika ini, Irfan berkata: "Jalan penyelesaiannya adalah kalau Balaban dapat beraksi pastinya keputusan perlawanan berbeza.

"Saya tak tahu bila dia akan mendapat sijil ITC itu tapi saya harap perkara ini dapat diselesaikan segera." Mengulas kedudukan Selangor yang jatuh ke tangga kelima, enam mata di belakang pendahulu baru Liga Super, Perak, Irfan menjelaskan tidak ada apa yang perlu dibimbangkan.

"Kita baru mengharungi enam perlawanan, saingan masih awal," jelasnya.-

Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Team Selangor - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger