Hamidin berang aksi longlai Merah Kuning

Written By Team Selangor on Isnin, 12 Mac 2012 | 3:09 PG


Bagaikan jatuh ditimpa tangga, setelah mengharungi perjalanan yang suram dalam saingan Liga Super dengan hanya menduduki tangga kelapan ketika ini, Selangor ditunjukkan pula jalan keluar daripada saingan Piala FA seawal pusingan kedua kepada Johor FC.

Biarpun dibimbing oleh jurulatih tempatan berprofil tinggi, Irfan Bakti dan mendapat sentuhan beberapa pemain kebangsaan seperti Safiq Rahim, Bunyamin Omar dan Asraruddin Putra Omar, prestasi skuad Merah Kuning itu jelas tidak menepati reputasi yang digambarkan.

Prestasi ‘yo-yo’ Selangor dalam saingan Liga Malaysia musim ini jelas meresahkan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang menganggap permainan Red Giants tidak setimpal dengan apa yang telah dicurahkan oleh persatuan itu kepada semua pemain dan jurulatih.

‘‘Terus-terang saya memang kecewa dengan prestasi Selangor pada masa sekarang yang gagal mempamerkan prestasi konsisten dalam saingan liga dan Piala FA.

‘‘Dengan sokongan tidak berbelah bahagi dan bermacam-macam pemberian pihak pengurusan kepada keseluruhan pasukan pada musim ini, saya rasa ia memang tidak memadai dengan apa yang mereka pamerkan atas padang.

‘‘Pemain-pemain dan jurulatih perlu memperbaiki prestasi mereka secepat mungkin serta kembali menemui rentak kemenangan supaya Selangor tidak terus tercicir dalam saingan liga setelah kecewa dalam saingan Piala FA, ” katanya ketika dihubungi, semalam.

Moral dan mentaliti pemain Selangor ternyata boleh dipersoalkan kerana selepas mendahului Johor FC 2-0 serta beraksi dengan kelebihan seorang pemain sepanjang 103 minit apabila Azi Shahril Azmi dibuang padang, mereka gagal mengambil kesempatan mempertahankan kedudukan itu atau menambah jumlah jaringan.

Sebaliknya, tuan rumah bangkit bergaya mengikat Selangor 2-2 bagi mengheret perlawanan ke masa tambahan sebelum Johor FC menang melalui sepakan penalti 5-4 apabila sepak terakhir berjaya disempurnakan Muhd. Zamri Chin.

Kegagalan Selangor dalam saingan Piala FA itu merencatkan hasrat FAS yang mahu melihat sekurang-kurangnya satu trofi dapat dijulang pada musim ini dengan Piala Malaysia menjadi sasaran paling realistik ketika mereka kini ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu, Kelantan dalam saingan Liga Super.

Dalam usaha mencari punca kemerosotan Selangor, Hamidin mengakui beliau telah mengarahkan satu ‘bedah siasat’ menyeluruh diadakan dalam semua aspek yang bukan sahaja melibatkan pemain tetapi semua pihak termasuk pengurusan.

Sumber: Utusan Malaysia
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Team Selangor - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger