Kegagalan mengutip tiga mata penuh pada pertemuan menentang Lions XII di Stadium Jalan Besar, di sini kelmarin menimbulkan rasa tidak puas hati pengendali Selangor, Irfan Bakti.Pertemuan tersebut menyaksikan Selangor menguasai lebih 70 peratus permainan selain mencipta banyak peluang gol menerusi percubaan berbahaya terutama menerusi Amri Yahyah.
Irfan meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap persembahan pemain sambil menyifatkan skuad kendaliannya sering hilang fokus, selain tidak berdisiplin di atas padang sehingga menyebabkan gagal mencari lebih banyak gol bagi memenangi perlawanan.
“Kami lebih banyak mendominasi perlawanan sejak dari mula tetapi kerap hilang fokus di tengah padang. Akibatnya, pihak lawan mengambil kesempatan untuk menghukum pertahan kami.
“Berbanding dengan Lions, mereka lebih berdisiplin dan fokus meskipun dibarisi pemain muda. Mereka juga kerap hilang kawalan bola tetapi berjaya mencari rentak perlawanan dengan cepat,” katanya selepas perlawanan.
Meskipun gagal mencipta kemenangan ketujuh berturut-turut selepas terikat 1-1 dengan Selangor, Lions XII tetap berpuas hati apabila berjaya mendaki ke tangga kedua liga di belakang Kelantan.
Selain itu, Irfan juga tidak berpuas hati dengan persembahan penyerang importnya, Bosko Balaban yang hanya menjaringkan satu gol untuk mengikat pasukan tuan rumah menerusi sepakan percuma dari luar kotak penalti.
Mengulas persembahan hambar Fitri Syazwan, beliau mengakui tidak memiliki pemain gantian untuk posisi itu menyebabkan Fitri terpaksa digunakan meskipun gagal mempamerkan aksi cemerlang.
Sumber: Utusan Malaysia ditulis oleh Nor Azan Fitri Ahmad Hidzir


