
SELANGOR memulakan pusingan kedua Liga Super dengan langkah kanan apabila berjaya menewaskan Johor FC 2-0 pada aksi sulung musim ini di gelanggang keramat, Stadium Shah Alam,, malam tadi.
Penyerang import dari Croatia, Bosko Balaban muncul wira Selangor dengan menjaringkan kedua-dua gol itu selepas jaringan penyamaannya pada lewat permainan, Sabtu lalu membolehkan Selangor mengikat Johor FC 1-1 di Stadium Pasir Gudang.
Pada aksi malam tadi, Johor FC turun serba kekurangan apabila ketua jurulatih mereka, K Devan sudah meletak jawatan, Ahad lalu dan tempatnya diambil alih sementara pembantunya, Azmi Mohamed selain tanpa kelibat penyerang import,Arthur Hendrique yang digantung perlawanan.
Percubaan berbahaya pertama Selangor hanya hadir pada minit ke-19, namun sepakan jarak dekat Amri Yahyah yang kembali beraksi selepas digantung satu perlawanan berjaya dihadang penjaga gol Johor FC, Anis Faron Arsidi.
Asraruddin Putra Omar berjaya menggegar gawang Johor FC pada minit ke-32 selepas menyudahkan bola lantunan rembatan K Gurusamy dari luar kotak penalti yang terkena palang, namun dia dikesan berkedudukan ofsaid.
Babak pertama ditutup dengan percubaan kemas Balaban yang berjaya ditepis keluar Anis Faron pada masa kecederaan.
Hanya tiga minit babak kedua bersambung, Anis Faron terpaksa dikeluarkan kerana mengalami kecederaan hamstring dan bekas penjaga gol Harimau Muda A, Zamir Selamat masuk menggantikannya.
Gawang Johor FC bergegar lagi, kali ini menerusi rembatan jarak dekat Ramez Dayoub selepas menyudahkan bola sepakan percuma Safiq Rahim pada minit ke-53, namun sekali lagi dibatalkan pengadil kerana dikatakan ofsaid.
Akhirnya gol dicari Selangor menjelma pada minit ke-56 apabila umpanan Solihin Kanasian dari sebelah kiri berjaya disudahkan dengan baik oleh Balaban yang berada di depan pintu gol Johor FC tanpa dicabar mana-mana pemain lawan untuk kedudukan 1-0.
Pada minit ke-76, Balaban sekali lagi melakukan percubaan, kali ini Zamir melayangkan badan menepis bola keluar.
Amri berjaya melepaskan rembatan menggegar gawang Johor FC pada minit ke-80, namun buat kali ketiga jaringan Selangor dibatalkan kerana ofsaid.
Gol kedua Selangor kemudian terhasil juga pada minit ke-86 berpunca dari sepakan sudut Safiq yang berjaya ditanduk kemas Balaban untuk menamatkan perlawanan dengan kemenangan mutlak 2-0.
Ternyata Selangor menguasai sepenuhnya permainan dengan Johor FC langsung tidak dapat melakukan percubaan berbahaya dengan hanya empat percubaan tepat berjaya dihasilkan, namun penjaga gol Selangor, G Jeevananthan kental memastikan gawangnya tidak dibolosi.
Dengan kemenangan itu, Selangor kini naik semula ke tangga keempat Liga Super dengan 24 mata selepas Perak sekadar seri 2-2 dengan Sabah di Ipoh. Lions XII masih di kedudukan teratas dengan 36 mata diikuti Kelantan 31 dan Terengganu 25.
DARI~SELANGOR FA