SELANGOR 6 TERENGGANU 1

Written By Team Selangor on Sabtu, 7 April 2012 | 2:45 PTG


SELANGOR melonjak ke tangga keempat Liga Super selepas mencatat kemenangan bergaya membelasah Terengganu 6-1 pada aksi ke-13 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya malam tadi.

Kapten Selangor, Amri Yahyah meledak dua gol manakala baki empat gol disumbang Bosko Balaban, Solihin Kanasian, Safiq Rahim dan Famirul Asraf Sayuti. Gol tunggal Terengganu dijaringkan Ismail Faruqi Ashari.

Kemenangan itu membolehkan Selangor kini mengumpul 20 mata hasil lima menang, lima seri dan tiga tewas, hanya satu mata kurang berbanding Terengganu di tangga ketiga manakala Lions XII kekal di tangga teratas dengan 30 mata diikuti juara bertahan, Kelantan di tangga kedua dengan 27 mata.

Namun Lions XII sudah beraksi 14 perlawanan, Kelantan dan Terengganu baru 12 perlawanan sementara Selangor 13 perlawanan.

Pada aksi malam tadi, Selangor turun tanpa tiga tonggak utama - Asraruddin Putra Omar, K Gurusamy dan Azidan Sarudin yang digantung satu perlawanan selepas mengumpul kad kuning ketiga ketika seri 1-1 dengan Sabah di Kota Kinabalu, minggu lalu.

Terengganu kendalian Mat Zan Mat Aris terlebih dahulu di hadapan seawal minit kesembilan apabila hantaran Ashari Samsudin dari sebelah kiri disudahkan dengan rembatan deras Ismail Faruqi menewaskan G Jeevananthan.

Pada minit ke-13, Amri berjaya menggegar gawang gol Terengganu tetapi dilayangkan kad kuning kerana sengaja menolak masuk bola menggunakan tangan selepas menyambut bola sepakan sudut Safiq.

Lima minit kemudian, Balaban pula mendapat peluang terbaik tetapi bola rembatannya di depan pintu gol Terengganu hasil hantaran Fitri Shazwan Raduwan berjaya didakap kemas Sharbinee Allawee Ramli.

Penantian penyokong tuan rumah berakhir pada minit ke-24 apabila Balaban menyepak kemas ke penjuru gawang Terengganu selepas menyambut tandukan Fitri berpunca daripada hantaran lintang P Gunalan dari sebelah kiri yang ditanduk keluar Muslim Ahmad untuk gol penyamaan Selangor.

Rentak permainan berubah selepas itu apabila jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim seolah sudah mengetahui kelemahan bekas pasukan bimbingannya itu sehingga membolehkan dua gol dalam tempoh selang seminit berjaya diperolehi.

Gol kedua Selangor terhasil pada minit ke-35 apabila Solihin berjaya memperdayakan Zubir Azmi sebelum melepaskan rembatan kencang kaki kiri menewaskan Sharbinee.

Hanya seminit kemudian, gol ketiga Selangor diperolehi berpunca hantaran lintang Gunalan dari sebelah kiri yang ditanduk pendek Solihin sebelum disudahkan dengan rembatan Amri di depan gawang terbuka.

Selangor menuju ke bilik persalinan dengan pendahuluan selesa 4-1 apabila giliran Safiq merembat kencang ke gawang Terengganu selepas menerima tolakan Amri.

Menyedari bek kanan, Hazmizan Kamarodin menjadi sasaran Selangor melancarkan serangan, Mat Zan memasukkan Mazlizam Mohamad serta Abdul Manaf Mamat menggantikan Joseph Kalang Tie apabila permainan babak kedua bersambung.

Namun tiada tambahan jaringan dihasilkan kedua-dua pasukan sehinggalah Selangor berjaya menambah dua lagi gol pada baki 10 minit terakhir permainan.

Pada minit ke-80, Amri menjaringkan gol kedua peribadinya dan gol kelima Selangor selepas dia yang menerima hantaran jauh lalu memperdayakan Mazlizam dan melepaskan rembatan kencang kaki kanan ke penjuru gawang Terengganu.

Pesta gol Selangor dilengkapkan pemain gantian, Famirul yang mudah merembat masuk bola lantunan selepas percubaan seorang lagi pemain gantian, R Surendren terkena tiang gol Terengganu untuk Sharbinee tertewas buat kali keenam.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Team Selangor - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger