SELANGOR 1 KEDAH 1

Written By Team Selangor on Rabu, 4 Julai 2012 | 11:58 PTG

Bosko Balaban meraikan gol jaringannya malam tadi

Selangor sekadar mencatat keputusan seri 1-1 dengan Kedah dalam perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Shah Alam malam tadi.

Pasukan tuan rumah mendapat kembali khidmat P Gunalan yang menjalani penggantungan sewaktu perlawanan menentang Kelantan, Jumaat lalu namun masih tidak dapat menggunakan khidmat pemain tengah kebangsaan K Gurusamy yang masih belum pulih dari kecederaan.

Selangor mengasak sejak wisel permulaan namun gagal menemui gol yang dicari sementara pasukan pelawat sekali-sekala mengancam menerusi serangan balas pantas. Kedudukan separuh masa pertama berakhir tanpa jaringan.

Selangor akhirnya membuka jaringan menerusi sepakan percuma penyerang import, Bosko Balaban yang menewaskan penjaga gol Kedah, Helmi Eliza Elias pada minit ke-62.

Gol tersebut nyata memberi semangat kepada anak-anak buah Irfan Bakti yang terus mengasak ke kubu lawan. Kesilapan pertahanan Kedah, V Thirumurugan yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya hampir dihukum Amri Yahyah namun sepakan lambungnya sekadar singgah di palang ketika Helmi sudah tertewas.

Ketika perlawanan berbaki dua minit, kelekaan barisan pertahanan Selangor membolehkan Abdel Fatah Safi melarikan bola memasuki kotak penalti sebelum melorongkan buat Khyril Muhymeen Zambri menolak masuk gol penyamaan buat pelawat.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Team Selangor - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger