
THE Red Giants berjaya mengakhiri penantian tiga tahun untuk menjulang Piala Sultan Selangor edisi ke-11 apabila mudah menewaskan pilihan Singapura 3-1 di Stadium Shah Alam, malam ini.
Kemenangan ini sekali gus menyaksikan Selangor berjaya merampas kembali piala kebanggaan itu setelah tiga tahun berturut-turut Singapura memenanginya.
Beraksi di hadapan lebih 65, 000 penonton di gelanggang sendiri, Selangor memulakan perlawanan dengan agresif dan melancarkan serangan ke kubu Singapura.
Tuan rumah hampir mendapatkan jaringan awal pada minit ke-4 menerusi percubaan Safee Sali. Bagaimanapun sepakannya tersasar.
Pada minit kelapan, Selangor sekali lagi hampir mendahului lawan namun, percubaan Bosko Balaban melepasi tiang gol.
Tersentak dengan serangan daripada tuan rumah, pasukan pelawat mengatur strategik akhirnya percaturan yang dilakukan berhasil apabila Aleksandar Duric menjaringkan gol pada minit ke-23.
Bagaimanapun, gol tersebut tidak menyentap semangat juang anak buah Irfan Bakti apabila turut melancarkan serangan ke kubu lawan.
Kesilapan pemain Singapura yang menjatuhkan Amri Yahya di kotak penalti terhukum apabila pasukan tuan rumah berjaya menyamakan kedudukan menerusi Safiq Rahim melalui sepakan penalti pada minit ke-32.
Babak kedua perlawanan menyaksikan pasukan tuan rumah memperkemaskan corak permainan dengan aksi yang lebih tersusun.
Serangan bertali arus tuan rumah akhirnya berjaya menjarakkan kedudukan apabila sepakan luar penalti Bosko Balaban membolosi gawang lawan pada minit ke-54.
Keghairahan tuan rumah dalam memburu kemenangan akhirnya tertunai apabila Rozaimi Abdul Rahman menjaringkan gol sekali gus menutup tirai perlawanan dengan 3-1.
-Sinar-