![]() |
Ramzul Zahini Adenan (tengah) mahu membuktikan penghijrahannya ke Selangor tidak sia-sia. |
PENYERANG baru The Red Giants, Muhammad Ramzul Zahini Adenan tekad membuktikan penghijrahannya ke pasukan itu tidak sia-sia.
Ramzul mengubah haluannya dari Kelantan berazam mencari pengalaman baru di bawah bimbingan jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim.
“Memang berat ketika membuat keputusan meninggalkan Kelantan, kerana di sini tempat saya membesar. Tetapi tidak salah jika penghijrahan itu baik untuk kerjaya saya.
“Tidak semestinya berada luar Kelantan saya tidak boleh berjaya. Ini peluang saya dan saya akan cuba lakukan yang terbaik,” katanya tekad membantu Selangor menjuarai trofi musim depan.
Tidak menafikan kurangnya penampilan ketika bersama The Red Warriors menjadi antara faktor mengapa beliau mahu mengubah angin ke Selangor.
Sementara itu, beliau yang menandatangani kontrak selama dua tahun bersama The Red Giants menyifatkan senarai 23 pemain baru pasukan itu mampu membuka peluang Selangor untuk menamatkan kemarau trofi kejuaraan.
“Musim depan Selangor dibarisi ramai pemain muda dan beberapa pemain lama. Dengan gabungan ini, saya yakin Selangor mampu melangkah lebih jauh dan sekurang-kurangnya merangkul satu piala,” katanya.
-SINAR-