SELANGOR TEWASKAN ATM

Written By Team Selangor on Jumaat, 25 Januari 2013 | 9:07 PTG


Azlan wira selangor | foto:Selangorfc


Selangor memulakan permainan dengan melancarkan pergerakan berbahaya ke kubu pelawat tetapi gagal untuk menembusi benteng pertahanan ATM.

Begitu pun, The Gladiators mengejutkan penyokong Gergasi Merah apabila Marlon Alex James yang tidak dikawal kemas mudah menolak masuk  untuk gol pembukaan ATM minit ketujuh berpunca daripada hantaran Venice Elphi.

Seminit selepas itu, Francis Forkey Doe hampir menyamakan kedudukan tetapi tendangan beliau tersasar sebelah kiri gawang lawan.

Selangor kemudiannya bertindak pantas mengeluarkan Forkey untuk digantikan Afiq Azmi akibat kecederaan.

Belum sempat anak buah Irfan Bakti Abu Salim menyusun rentak, gawang mereka bolos kali kedua selepas sepakan Affize Faizal terkena kapten tuan rumah, Asraruddin Putra Omar untuk mengelirukan Norazalan Razali minit ke-25.

Ternyata, kehilangan Amri Yahyah akibat penggantungan perlawanan cukup memberikan kesan kepada jentera Merah Kuning dalam menggerakkan umpanan berkualiti kepada barisan hadapan.

Babak kedua memperlihatkan kesungguhan Selangor memburu gol dan berjaya merapatkan jurang menerusi Afiq minit ke-53. Ia berlaku hasil hantaran silang K Soley yang ditanduk Afiq dan terkena tiang sebelah kiri sebelum melantun masuk menewaskan Farizal Harun.

Afiq yang dikenali sebagai ‘Panjang’ terus mencuri tumpuan dengan menanduk cantik bagi mengikat kedudukan menjadi 2-2 berselang empat minit kemudian.

Selangor berpeluang menambah gol ketiga selepas mendapat sepakan percuma dalam kotak penalti tetapi disia-siakan Ramez Jamal Dayoub yang memilih menyepak tepat ke arah benteng lawan.

Minit-minit akhir permainan menyaksikan S Thinagaran hampir mencetak nama selaku penjaring untuk ATM tetapi Norazlan menggagalkan sepakan lemah beliau sebelum tandukan Marlon sekadar melewati palang gol Selangor.

Permainan terpaksa dilanjutkan sehingga masa tambahan 30 minit kerana kedua-dua pasukan kekal terikat 2-2 pada masa sebenar. Malangnya, kebuntuan gol memaksa pemenang ditentukan melalui sepakan penalti.

Penalti terakhir gagal disempurnakan Bruno Marteloto membuat pemain Selangor girang melangkah ke pusingan kedua yang dijangka diadakan pada 26 Februari depan.

-SINAR-
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Team Selangor - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger