
SAINGAN Liga Super 2013 berhenti seketika bagi memberi laluan kepada pasukan kebangsaan menghadapi kempen pusingan Piala Asia 2015, namun ia bukan alasan buat Selangor berbulan madu.
Selepas pertemuan terakhir menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada Jumaat lalu, pasukan Merah Kuning hanya dijadualkan kembali turun ke gelanggang berdepan Kelantan pada 15 Februari ini.
Menurut pengendali pasukan Selangor, Irfan Bakti Abu Salim, latihan diteruskan seperti biasa bagi mengekalkan momentum permainan dan taktikal pemain.
"Latihan bermula hari ini (semalam) dan pemain dalam suasana ceria. Kita tidak sekadar berehat dan kami akan mengadakan sekurang-kurangnya dua perlawanan persahabatan sepanjang bulan depan.
"Kita bertemu kelab Singapura, Geylang United di Shah Alam pada 7 Februari dan Insya-ALLAH melayani kunjungan Pos Malaysia di Padang SUK, Shah Alam (9 Februari)," katanya.
Sementara itu, Irfan berkata, tahap kecederaan dialami pemain K Gurusamy dan S Kunanlan mula menunjukkan petanda positif dan mungkin boleh beraksi dalam pertemuan akan datang.
"Kemungkinan besar pemain ini akan diturunkan pada aksi liga bertemu Kelantan dan saya akan tengok dulu sejauh mana prestasi terkini mereka," katanya.
Selangor kini berada di tangga ketiga liga hasil tiga menang, seri sekali bagi mengumpul 10 mata dan hanya ketinggalan dua mata di belakang pendahulu semasa, Pahang.
-SINAR-


