
Kuala Lumpur: Berzikir bukan saja menjadi senjata utama buat pemain pertahanan Selangor, Ramez Dayoub di padang namun ia sememangnya menjadi amalan harian.
Malah pemain import berasal dari Beirut, Lubnan itu turut berzikir sepanjang sesi temu ramah bersama Arena Metro yang diadakan di kafe berdekatan kediamannya di Damansara, baru-baru ini.
"Zikir adalah amalan yang seharusnya diamalkan setiap Muslim. Sudah menjadi kebiasaan saya untuk berzikir setiap masa. Tasbih umpama rakan baik saya.
"Malah ketika beraksi di padang saya turut berzikir dalam hati tanpa menggunakan tasbih," katanya tenang sambil memegang tasbih hitam.
Diminta mengulas apa lagi kegemarannya di masa lapang jika tidak bertempur di padang, Ramez menjawab dia begitu terikat dengan kerjaya serta latihan bola sepak dan sekadar bersantai di rumah atau di kafe berdekatan.
"Bagi orang bujang seperti saya, tidak banyak aktiviti yang saya boleh lakukan jika tidak ke padang. Namun, saya gemar bersantai di rumah atau minum kopi di kafe. Itupun kafe yang paling dekat dengan kawasan kediaman saya.
"Selebihnya saya gemar membaca buku terutama berkaitan agama," katanya.
Cuma apa yang menarik, Ramez gemar membaca buku mengenai setiap agama dan tidak khusus pada Islam saja. Dia agak berpengetahuan mengenai agama lain bagi tujuan menambah pengetahuan.
"Islam adalah agama saya. Cuma saya gemar membaca serta ingin tahu tentang agama lain serta cara hidup mereka dan ia tidak salah," katanya yang juga pandai memasak.
Bagaimanapun Ramez berkata, dia hanya pandai memasak masakan Lubnan kerana terpaksa berdikari memandangkan sudah tujuh tahun hidup sebagai perantau di pelbagai negara.
"Saya hanya masak pada hari biasa itupun jika ada masa terluang serta tidak penat. Namun, setiap hujung minggu saya akan membuat tempahan makan yang dihantar ke rumah dari restoran Lubnan kegemaran di Lembah Klang, Al Amar.
"Tidak dinafikan saya cuba masakan Malaysia kerana sudah dua tahun menetap di sini tetapi sukar. Selera saya masih belum boleh menerima masakan Malaysia," katanya.
Ketika ditanya mengenai teman hidup, Ramez, 28, tersenyum seraya berkata dia masih belum berpunya namun tidak menolak jika ditakdirkan bertemu jodoh dengan gadis Malaysia.
"Saya suka berada di Malaysia dan ingin kekal bermain bersama pasukan di sini jika diberi peluang. Maka, jika selamanya berada di Malaysia tidak mustahil untuk saya bertemu jodoh di sini," katanya yang tahu serba sedikit bahasa Melayu antaranya 'hantaran' yang bermaksud nilai bayaran untuk wanita dalam adat perkahwinan.
Bercerita mengenai keluarganya serta kampung halaman, Ramez mengakui dia amat merindui Beirut.
"Saya tinggal seorang diri di sini dan amat merindui ibu, ayah serta empat adik beradik saya. Jika boleh, saya ingin membawa mereka berpindah ke sini.
"Tetapi, ia mustahil kerana adik beradik saya semuanya mempunyai tanggungjawab masing-masing kerana kakak sulung saya sudah bekerja manakala adik-adik masih belajar," katanya.
Ditanya mengenai kerjaya bola sepaknya bersama Selangor musim ini, Ramez berazam akan memberi yang terbaik untuk melakar kejayaan dalam saingan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.
"Siapa yang enggan bergelar juara. Tetapi saya tidak memandang remeh cabaran pasukan lawan yang hebat antaranya ATM, Johor DT, Kelantan dan Pahang. Kita perlu bersikap realistik tetapi pada masa sama berusaha melakukan yang terbaik untuk Selangor," katanya.
-Metro-


