BUKTIKAN KEMAMPUAN - SHUKUR

Written By Team Selangor on Jumaat, 8 Mac 2013 | 7:48 PTG


SELAIN menyaksikan kepulangan bekas pemain Selangor, Safiq Rahim ke Stadium Shah Alam, tumpuan pasti terarah kepada pemain perancang skuad Gergasi Merah, Abdul Shukur Jusoh menjelang pertemuan sengit menentang Johor Darul Takzim (Johor DT) malam esok.

Ini kerana, kredibiliti Shukur bakal dijadikan ukuran dengan bintang Johor DT, Safiq, yang mana bekas kapten Selangor itu pernah muncul sebagai tonggak utama buat skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim musim lalu.

Selepas menyaksikan Safiq mengubah haluan ke Selatan tanah air, Shukur yang berhijrah dari Terengganu pada akhir musim lalu, bertindak mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh kapten Harimau Malaya itu.

Begitupun, Shukur tidak mahu gaya permainannya dibandingkan dengan Safiq, sebaliknya dia hanya mahu fokus membantu Selangor meraih tiga mata berharga pada aksi tersebut.

Menurutnya, Safiq merupakan seorang pemain perancang yang hebat.

Jelasnya, dia menghormati Safiq yang sebelum ini banyak menabur bakti bersama Gergasi Merah namun dalam masa yang sama, Shukur tetap berazam untuk menyekat pemain Harimau Selatan itu dalam usaha membantu Selangor merampas status pendahulu Liga Super.

“Kewibawaan Safiq ketika bersama Selangor tidak perlu dipersoalkan.

“Semua mengetahui bahawa dia merupakan seorang pemain yang hebat dan mampu memberikan ancaman kepada pasukan lawan dalam gerakan set-piece.

“Saya cukup menghormati Safiq tetapi ketika beraksi di atas padang nanti, reputasinya tidak akan sesekali menjejaskan fokus saya untuk membantu Selangor meraih kemenangan ke atas Johor DT,” katanya ketika dihubungi semalam.

-KOSMO-
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Team Selangor - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger