SELANGOR HORMATI TAMPINES ROVERS

Written By Team Selangor on Rabu, 13 Mac 2013 | 3:31 PG


SELEPAS dikecewakan pada aksi sulung, Selangor kini terdesak untuk memburu tiga mata pertama pada aksi kedua Piala AFC menentang Tampines Rovers di Stadium Shah Alam malam ini.

Skuad Gergasi Merah itu tewas 0-1 kepada kelab India, East Bengal menerusi jaringan tunggal Lalrindika Ralte pada 27 Februari lalu.

Tampines dari Singapura pula kalah mengejut 2-3 kepada wakil Vietnam, Xuan Thanh Saigon pada aksi pembukaan Kumpulan H Piala AFC, 6 Mac lalu.

Selangor yang masih segar dengan kejayaan membelasah Johor Darul Takzim (Johor DT) 4-1 pada saingan Liga Super, Sabtu lalu tidak rela berputih mata di laman sendiri.

Jurulatih Gergasi Merah, Irfan Bakti Abu Salim mengakui hanya kemenangan ke atas pasukan yang dikenali sebagai skuad Rusa itu dapat meletakkan kembali juara 32 kali Piala Malaysia di landasan tepat dalam memburu trofi Piala AFC.

Bekas jurulatih Terengganu itu berkata, beliau tidak mahu barisan pemain terlalu mengambil mudah cabaran Tampines selain menganggap pasukan yang dibarisi pemain-pemain kebangsaan Singapura itu sebagai salah sebuah kelab yang hebat di Kota Singa.

“Kami menghormati Tampines kerana mereka adalah juara Liga Singapura (Liga S).

“Selain itu, mereka dibarisi lima pemain kebangsaan Singapura (Mustafic Fahrudin, Shahdan Sulaiman, Mohamad Shaiful Esah Nain, Mohamad Firdaus Kasman dan Mohammad Khairul Amri Mohammad Kamal) serta beberapa pemain import yang mendapat kerakyatan.

“Saya menjangkakan ia bakal menjadi satu pertembungan sukar buat kedua-dua pasukan. Saya mengetahui bahawa rakan sejawatan saya, (jurulatih Tampines), Nenad Bacina turut berhajat untuk memperoleh tiga mata pertama selepas kami tewas pada aksi pertama Piala AFC.

“Selain itu, Selangor masih belum dapat mengesahkan status S. Kunanlan dan K. Gurusamy kerana kedua-dua pemain ini ditimpa kecederaan ketika menentang Johor DT. Saya perlu melakukan sistem penggiliran pemain.

“Ia penting untuk mengelakkan pemain-pemain lain ditimpa masalah yang sama,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar Piala AFC di Stadium Shah Alam petang semalam.

Sementara itu, Bacina mengakui yang mereka tetap memperoleh kejayaan sekiranya berjaya mengikat Selangor.

Pengendali kelahiran Croatia itu turut memberikan amaran kepada barisan pemain agar mengawasi beberapa pemain utama Selangor sekiranya berhasrat untuk mencuri satu mata di Shah Alam malam ini.

“Situasi kami sama seperti Selangor. Rancangan kami adalah membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata.

“Saya menyedari bahawa kami adalah pasukan pelawat dan kelebi- han dilihat lebih memihak kepada Selangor.

“Selain itu, kami akan berwaspada dengan ancaman pemain sayap, Kunanlan dan penyerang, Mohd. Amri Yahyah yang dilihat mampu mengubah rentak perlawanan,” katanya.

-KOSMO-
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Team Selangor - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger