SELANGOR mengesahkan bahawa mereka telah mendapatkan seorang pemain import baru dari Australia untuk menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) sebelum jendela pendaftaran pemain Liga M ditutup semalam.
Dalam usaha memantapkan pasukan, jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim percaya kehadiran pemain import baru itu akan memantapkan skuad kendaliannya untuk menghadapi baki saingan Liga Super dan Piala Malaysia.
Menurut Irfan, Adam Griffiths yang juga bekas pemain Newcastle Jets bakal menggantikan Peter Chrappan dari Slovakia.
"Berdasarkan pengalamannya yang pernah mengawal penyerang prolifik seperti Emile Heskey sebelum ini, saya percaya Adam mampu membantu benteng pertahanan Selangor mengharungi baki saingan Liga Super dan Piala Malaysia," kata Irfan.
Mengulas lanjut, Irfan juga memberitahu bahawa beliau menaruh harapan tinggi kehadiran pemain import itu mampu membantu mengembalikan kegemilangan Merah Kuning.
“Malam ini Adam tidak akan beraksi bersama Selangor ketika berdepan East Benggal di Stadium Shah Alam, tapi dia mungkin akan diturunkan pada perlawanan menentang Lions XII Sabtu ini.
"Dan saya yakin kehadiran Adam sedikit sebanyak mampu membantu pemain lain mempelajari teknik atau kemahiran baru daripada mereka," jelas Irfan.
Irfan turut menjelaskan Adam tidak didaftarkan dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) kerana ia termaktub dalam syarat pendaftaran pemain yang ditetapkan AFC sebelum ini.
Katanya, Adam hanya akan beraksi dengan Selangor dalam saingan Liga M memandangkan status dua pemain import dalam kempen Piala AFC kekal menjadi milik Chrappan bersama rakan senegaranya, Michel Kubala.
Selepas berdepan East Benggal dalam saingan Piala AFC malam ini, Selangor akan berdepan Lions XII dalam saingan Liga Super empat hari kemudian di Stadium yang sama.
-SINAR-



