MISI 33 KEMBALI DINYALAKAN

Written By Team Selangor on Khamis, 11 Julai 2013 | 10:19 PG


JURULATIH Selangor, Irfan Bakti Abu Salim yakin skuad Gergasi Merah berhak untuk dinobatkan sebagai juara pada kempen Piala Malaysia 2013.

Irfan menyuarakan keyakinan itu berdasarkan tiga faktor utama.

“Kami berjaya membuktikan kualiti sebenar kami pada saingan Liga Super musim ini. Selangor menjadi pasukan yang merekodkan kekalahan paling sedikit iaitu dua kali sepanjang kempen tersebut.

“Kedua, selaku juara 32 kali pada kempen Piala Malaysia, Selangor berjaya menewaskan pasukan yang menduduki kelompok empat teratas pada saingan Liga Super musim ini termasuk juara, Lions XII.

“Selain itu, Selangor juga mahu menyahut cabaran pengurusan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), sekali gus memberikan ‘hadiah’ istimewa kepada bekas Setiausaha Agung FAS, Datuk Hamidin Mohd. Amin dan penggantinya, Rosman Mohd. Ibrahim.

“Kami mahu menamatkan kempen Liga Malaysia tahun ini dengan mendakap sekurang-kurang satu trofi iaitu Piala Malaysia 2013,” kata Irfan kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.

Irfan berkata, akan-anak buahnya berada dalam motivasi terbaik untuk mengharungi kempen Piala Malaysia 2013 yang akan membuka tirainya pada 20 Ogos depan.

“Jika tanya saya kenapa Selangor patut dinobatkan sebagai juara, itulah jawapannya.

“Kami sentiasa optimis tetapi skuad Gergasi Merah sebenarnya boleh dikatakan seperti harimau yang ‘terluka’ pada kempen edisi ke-87 Piala Malaysia kali ini.

“Sebenarnya, Selangor patut menjulang trofi Liga Super musim ini tetapi tuah tidak menyebelahi kami apabila kami mencatat keputusan seri paling banyak (10 kali) selain terkandas di aksi suku akhir pada kempen Piala FA menentang Johor Darul Takzim (Johor DT).

“Oleh sebab itu, kami tidak rela kempunan lagi dan saya optimis bahawa skuad kendaliannya saya akan berjuang habis-habisan untuk mengakhiri kempen Liga Malaysia (Liga M) dengan meraih sekurang-kurang satu trofi,” katanya.

Dalam perkembangan sama, jurulatih kelahiran Perak itu menegaskan, skuad Gergasi Merah tetap meneruskan ‘Misi 33’ yang sering menjadi matlamat utama mereka pada kempen Piala Malaysia.

“Sudah tentu, kami telah menjuarai Piala Malaysia sebanyak 32 kali dan ‘Misi 33’ itu akan diteruskan sehingga kami berjaya merangkul kejuaraan tersebut.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, Selangor semakin terdesak untuk menjulang trofi Piala Malaysia dan kami akan fokus satu demi satu perlawanan,” ujarnya.

Untuk rekod, Selangor diundi bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Sime Darby dan Johor untuk aksi Kumpulan A Piala Malaysia 2013.

-kosmo-
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Team Selangor - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger