SELANGOR LEBIH BERWASPADA

Written By Team Selangor on Selasa, 20 Ogos 2013 | 9:59 PG

PENGENDALI Selangor, Irfan Bakti Abu Salim mahu skuad Gergasi Merah berwaspada dengan ancaman Johor menjelang aksi pembukaan Kumpulan A Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang malam ini.

Menurut Irfan, Johor sudah pasti mahu menebus maruah ‘abang’ mereka, Johor Darul Takzim (Johor DT) yang dikecewakan Selangor sebelum ini.

Untuk rekod, Selangor berjaya merakamkan satu kemenangan ketika beraksi di Johor apabila membenam Johor DT 2-1 pada aksi Piala FA, 6 April lalu.

Pada 9 Mac lalu, anak-anak buah Irfan membelasah Harimau Selatan 4-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Shah Alam.

“Sudah tentu mereka (Johor) mahu menewaskan kami sebagai usaha menebus maruah Johor DT.

“Dendam mereka terhadap Selangor begitu menebal dan apa yang pasti, Selangor harus berwaspada dengan setiap ancaman mereka

“Mereka tidak boleh dipandang ringan kerana selain memiliki pemain pertahanan, tonggak-tonggak muda Johor dijangka memberikan masalah kepada kami,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Begitupun, bekas jurulatih Terengganu dan Perlis itu tetap optimis bahawa skuad Gergasi Merah masih berupaya untuk memberikan satu persembahan yang baik dalam usaha meraih tiga mata penuh.

Beliau turut berharap kepulangan penyerang import, Francis Forkey Doe bakal menguatkan lagi jentera serangan Selangor.

“Jika kami berjaya mengekalkan aksi macam menentang kelab Qatar (Lekhwiya SC) yang mana berkesudahan seri 1-1 baru-baru ini, saya yakin Selangor tidak akan berdepan banyak masalah.

“Kami akan buat kerja kami iaitu berusaha untuk mendapatkan kemenangan di sana dan saya berharap Forkey Doe dapat memberikan sentuhan terbaik ketika berdepan Johor nanti,” katanya.

-Kosmo-
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Team Selangor - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger