Selangor yang akan bertemu dengan pasukan T-Team berazam untuk tidak bolos dan mengukuhkan pertahanan.
Penjaga gol Selangor, Norazlan Razali akan memberi tumpuan khusus kepada kapten T-Team, Zairo Anuar Zailani (Gambar) dalam pertemuan kedua-dua pasukan yang dijangka sengit di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam ini.
Pemain tengah berpengalaman berusia 30 tahun itu adalah antara tonggak penting membantu T-Team untuk berada di tempat keempat Liga Super ketika ini selain mendahului senarai penjaring terbanyak dengan empat gol termasuk satu gol ketika tewas 1-2 kepada Terengganu pada Sabtu lalu.
"Sebagai penjaga gol saya perlu waspada dengan kelibatnya. "Kemampuannya melakukan percubaan jarak jauh memang tidak boleh dipertikaikan lagi dan sedikit kecuaian akan membawa padah kepada kami," katanya yang menjadi penjaga gol utama Selangor musim ini.
Bekas penjaga gol Kuala Lumpur berusia 27 tahun itu turut menggesa barisan pertahanan tidak memberi ruang kepada bekas pemain Terengganu itu bergerak bebas mengatur gerakan hingga mampu melakukan cubaan berbahaya ke gawang Selangor.
"Saya dan rakan akan cuba memberikan aksi terbaik bagi mengecapi kemenangan kali ini. Malah empat kemenangan lawan pada musim lalu tidak boleh dijadikan sebagai ukuran kerana Selangor bukan lagi diwakili pemain yang sama. Kedua-dua pasukan sudah berubah.
"Perlawanan ini juga penting bagi saya untuk memastikan gawang tidak dibolosi selepas terikat tanpa jaringan pada Sabtu lalu menentang Sarawak," katanya.
Selangor yang mendapat sentuhan bekas pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim belum mencapai tahap terbaik dan gagal meraih kemenangan dalam dua perlawanan terakhir selain sekadar mengumpul lima mata selepas empat perlawanan.