
Dua jaringan Safiq Rahim serta masing-masing satu gol daripada Bosko Balaban dan Amri Yahyah sudah memadai untuk Selangor menempah pertemuan dengan Johor FC pada aksi pusingan kedua di Stadium JCorp, Pasir Gudang, 10 Mac depan.
Pada aksi malam tadi, perlawanan terpaksa dimulakan lewat 20 minit akibat padang yang bertakung ekoran hujan melanda Temerloh sejak petang.
Biarpun rentak permainan kedua-dua pasukan agak terjejas kerana terdapat sesetengah kawasan di padang ditakungi air, Selangor berjaya memperolehi gol pertama pada minit ke-21 apabila rembatan Balaban terbias kaki pertahanan Shahzan Muda lalu menerjah jaring.
Balaban hampir menambah jaringan pada minit ke-39, namun sepakan percumanya sekadar menggegar palang gol pasukan tuan rumah yang dibimbing Tajuddin Nor.
Bersambung babak kedua, bagi menambah sengat di barisan depan, jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim memasukkan Solihin Kanasian menggantikan Amirulhadi Zainal pada minit ke-59.
Kelebihan jelas milik Selangor selepas penjaga gol Shahzan Muda, Khairul Azhan Khalid dilayangkan kad merah pada minit ke-63 kerana tindakannya menarik dengan sengaja Amri yang hanya perlu menolak masuk bola di depan gawang terbuka, lalu sepakan penalti diberikan.
Safiq menyempurnakan sepakan penalti itu dengan baik menewaskan penjaga gol gantian Shahzan Muda, Sheril Anuar Saini pada minit ke-65 untuk kedudukan 2-0.
Menentang lawan yang beraksi 10 pemain, Selangor terus mendominasi permainan dan hasilnya gol ketiga menjelma pada minit ke-72 apabila lambungan bijak pemain gantian, Azidan Sarudin mudah ditanduk masuk oleh Safiq di hadapan pintu gol Shahzan Muda.
Pesta gol Selangor berterusan apabila Amri menanduk cantik hantaran lintang Solihin dari sebelah kanan pada minit ke-83 untuk gol keempat, yang juga merupakan gol peribadi ke-100 buat kapten Selangor itu.
Kedudukan 4-0 itu kekal sehingga wisel penamat untuk member keceriaan buat kira-kira 500 penyokong Selangor yang bertandang ke Temerloh.