Gergasi mahu baham Singa

Written By Team Selangor on Selasa, 20 Mac 2012 | 8:08 PG

Perasaan tertekan kini berkurangan kepada skuad Selangor selepas mencatatkan kemenangan ke atas Kuala Lumpur, malam kelmarin, walaupun buntu mencari jaringan pada 45 minit pertama.

Ia diakui kapten Merah Kuning, Mohd Amri Yahyah (gambar kiri) yang mengakui kejayaan meraih tiga mata itu membolehkan situasi pasukan kembali kepada keadaan biasa sekali gus melupakan episod duka tersingkir seawal pusingan kedua Piala FA.

“Kemenangan ini sebenarnya amat penting untuk kami meneruskan saingan dalam kancah Liga Super. Ia mengurangkan tekanan kepada kami semua,” katanya.


Pada aksi yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu, Selangor membuka jaringan pada babak kedua menerusi tandukan penyerang importnya, Bosko Balaban pada minit ke-60 selepas mendapat hantaran Mohd Razman Roslan.

P Gunalan menambah gol kedua menerusi sepakan gunting dalam kotak penalti selepas mendapat hantaran Amri diikuti jaringan pelengkap Mohd Amirulhadi Zainal untuk mengesahkan kemenangan 3-0 yang juga kemenangan terbesar di catatkan Merah Kuning dalam aksi Liga Super selepas 10 perlawanan.

“Pada babak kedua, jurulatih (Irfan Bakti Abu Salim) meminta kami meningkatkan tekanan ke atas lawan. Ia nyata berkesan apabila kami menyerang secara berterusan ke kubu lawan sehingga menyebabkan mereka tidak mendapat banyak ruang dan bersedia menerima serangan kami,” katanya.

Kemenangan ini membolehkan Selangor mencatatkan kemenangan keempat dan melonjak ke tangga keenam liga dengan mengumpul 15 mata sebelum menggalas satu lagi misi sukar menentang LionsXII di Stadium Jalan Besar, malam esok.

Sumber: myMetro ditulis oleh Azlan Muhammad Zain
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Team Selangor - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger