Gergasi Merah waspada ancaman Sang Helang

Written By Team Selangor on Sabtu, 17 Mac 2012 | 8:43 PG

Call Of Duty
SKUAD warga kota, Kuala Lumpur dilihat mampu menambah derita Selangor menjelang pertemuan kedua-dua pasukan dalam aksi Liga Super di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.

Sekadar mengutip satu mata daripada sembilan perlawanan setakat ini, skuad kendalian Razip Ismail pastinya mahu tampil dengan aksi lebih bertenaga.

Selain itu, Kuala Lumpur juga pasti mahu memanfaatkan prestasi hambar Gergasi Merah setakat ini, terutamanya selepas ditunjukkan jalan keluar oleh Johor FC pada pusi- ngan kedua Piala FA minggu lepas.


Namun pada masa sama, jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim juga pastinya tidak duduk diam sebegitu sahaja bagi menyahut cabaran Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Hamidin Mohd. Amin dengan penuh ‘kejantanan’.

Hamidin sebelum ini mencabar skuad Selangor supaya melupakan kekecewaan Piala FA dan menganggap ia sebagai satu cabaran untuk memburu dua lagi piala musim ini iaitu Liga Super dan juga Piala Malaysia.

Hamidin dilaporkan berkata, jika Merah Kuning berhasrat untuk kembali memberikan saingan pada aksi Liga Super, pemain perlu memastikan tiga mata berharga ke atas Sang Helang malam ini, selain turut mencatatkan kemenangan ke atas musuh tradisi, Lions XII di tempat lawan Selasa depan.

“Yang sudah itu sudahlah, tidak ada rezeki menjulang Piala FA, hendak buat macam mana.

“Saya yakin dengan kredibiliti Irfan yang pastinya memikirkan strategi terbaik ketika menentang Kuala Lumpur nanti,” kata Hamidin sebelum ini.

Skuad warga kota kini di tangga tercorot liga, manakala Selangor yang mengutip 12 mata di tangga kelapan.

Begitupun, ia bukan suatu tugas yang mudah buat Irfan memandangkan skuadnya agak ‘tempang’ pada perlawanan malam ini tanpa kehadiran tonggak pertahanan, Nasriq Baharom yang mengalami kecederaan pangkal paha.

Tonggak import, Ramez Dayoub dan seorang lagi pemain pertahanan, Bunya- min Omar juga terpaksa diketepikan malam ini gara-gara menjalani penggantungan perlawanan.

Disebabkan itu, mereka perlu lebih berwaspada berdepan serangan pantas Kuala Lumpur, terutamanya di bahagian sayap jika enggan ‘berputih mata’ malam ini sebagai penyuntik semangat sebelum berdepan Lions XII minggu depan.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Team Selangor - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger