
Malah pengendali The Red Giants itu tidak teragak-agak ‘merehatkan’ pemain berke-naan sehingga musim Liga Malaysia berakhir.
“Tiada kompromi. Sekiranya ada pemain yang tidak serius, saya tidak teragak-agak menggantikan mereka dengan pemain lain,” katanya selepas menyaksikan pasukannya tersingkir daripada saingan Piala FA di tangan Johor FC, Sabtu lalu.
Pada perlawanan itu, Selangor dilihat berpeluang melakar kemenangan selepas mendahului 2-1, namun aksi ‘main-main’ penjaga golnya, Norazlan Razali ‘menghadiahkan’ gol penyamaan tuan rumah untuk mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti.
“Sebelum ini, kita sasar satu piala dan berharap dapat beraksi di final Piala FA. Namun kita sudah pun terlepas dan kekalahan itu berlaku kerana kesilapan pemain sendiri yang tidak patut dilakukan.
“Mereka tidak boleh main-main, kena serius dan bangkit segera pulihkan keyakinan. Saya tidak mahu ada pemain bermain sambil lewa,” katanya.
Meskipun gagal ke suku akhir, Irfan tidak mudah melatah dengan membuat rombakan terlalu drastik, namun tidak menolak kemungkinan akan melakukan perubahan pemain menjelang perlawanan Liga Super nanti.
Irfan bagaimanapun, masih optimis dengan kemampuan anak didiknya untuk meletakkan Selangor di kelompok tiga terbaik liga.
“Buat masa ini kita akan memberi tumpuan kepada saingan Liga Super memandangkan masih tinggal 15 perlawanan,” katanya yang enggan memikirkan soal mendakap Piala Malaysia berikutan kegagalan Red Giants menjulang Piala FA.
Selangor kini di tangga ke-8 liga dengan 12 mata, ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu Kelantan.
Sumber: Sinar Harian ditulis oleh Siti Zubaidah Mohd Isa