USAH BIAR PENYU MENANGIS LAGI

Written By Team Selangor on Selasa, 10 April 2012 | 5:54 PG


BELUM PUN reda kekecewaan penyokong fanatik bola sepak Terengganu terhadap kekalahan pasukan berstatus kelab, T-Team di tangan PKNS Selangor Jumaat lalu, kali ini si abang pula menyusuli kekecewaan itu dengan kekalahan lebih besar.

Jika T-Team diaibkan dilaman sendiri oleh PKNS dengan kekala­han­ 1-4, Terengganu pula menangis di gelanggang lawan selepas diamuk gergasi merah untuk mereka menang bergaya 6-1.

Ironinya, kedua-dua pasukan adik dan abang (T-Team dan Terengganu), dikecewakan juga oleh adik dan abang daripada pasukan lawan (PKNS dan Selangor).

PKNS Selangor dibimbing Hj Abdul Rahman Ibrahim, seorang figura yang suatu ketika dahulu turut memberikan sentuhan magisnya untuk pasukan bola sepak Terengganu.

Selangor pula, sehingga kini anak-anak Terengganu masih belum dapat melupakan kelibat Hj Irfan Bakti, individu yang banyak mengangkat martabat bola sepak Terengganu semusim yang lalu.

Bezanya, Irfan Bakti malam kelmarin sedang dalam misi memburu kejuaraan untuk skuad baru bimbingannya iaitu Selangor, manakala Terengganu pula, dalam misi untuk mengekalkan penguasaan ke atas gergasi Lembah Kelang itu. Ini kerana, mengikut rekod, Selangor belum pernah mencatat kemenangan ke atas Terengganu sejak Februari 2011.

Kesudahannya, kemenangan berpihak kepada Selangor. Bukan sekadar menang tipis, sebaliknya mereka ada sebab untuk bergembira dan bercakap mengenai topik ini, sebab mereka menang besar.

Menang 6-1 ke atas Terengganu, sebuah pasukan yang dibarisi bintang dan barisan pemain terbaik memang membuatkan Selangor mendabik dada.

Bukan sahaja penyokong Terengganu, malah peminat bola sepak di negeri lain juga jelas terkejut dengan kekalahan ini. Semuanya masih rancak bercerita, Terengganu kena belasah 6-1!

Perit, memang perit hakikat ini. Sesuatu perlu dilakukan untuk menyaksikan semula kebangkitan Terengganu. Ada yang mempertikaikan taktikal yang digunakan pengendali Terengganu, Mat Zan Mat Aris, tidak kurang juga yang mempersalahkan penjaga gawang, Mohd Sharbinee Alawee yang melepaskan gol yang tidak sepatutnya.


Rehat hanya dua hari

Dalam melayan kekecewaan, penyokong tidak seharusnya lupa, bari­san pemain Terengganu melalui jadual perlawanan yang begitu padat sejak Mac lalu. Berbanding Selangor yang hanya menumpukan perhatian kepada saingan Liga Super (selepas
ditunjukkan jalan keluar awal dalam saingan Piala FA), Terengganu perlu kuat mental dan fizikal untuk dua lagi saingan penting.

Misi mempertahankan kejuaraan Piala FA yang didakap Jun 2011 bukan mudah. Berdepan laluan sukar pada peringkat awal, Terengganu nyata tidak menghampakan penyokong apabila menang dan terus menang, hingga akhirnya layak ke peringkat separuh akhir Piala FA 2012.

Satu lagi kejohanan yang memerlukan kerahan tenaga dan cura­han keringat anak-anak didik Mat Zan adalah saingan Piala AFC. Sehingga perlawanan ketiga, Terengganu mencatat dua kemenangan. Paling manis, ia dilakar di gelanggang lawan.

Memang, jadual padat bukan ala­san sebab kerja mereka main bola. Jadi seharusnya mereka tampilkan yang terbaik buat peminat yang mengharapkan kemenangan setiap kali pasukan kesayangan beraksi. Apatah lagi dengan gelaran kuasa baru sukan bola sepak, gergasi bola sepak Pantai Timur, Terengganu Nelang, juara bertahan Piala FA dan pelbagai gelaran lagi diberikan kepada kesebelasan utama kita, sudah pastinya peminat kecewa jika mereka kalah 1-6 kepada seteru nombor dua selepas Kelantan itu.

Namun, Irfan Bakti sendiri mengakui, beliau memanfaatkan peluang pemain Terengganu yang keletihan untuk memastikan pasukannya mengutip tiga mata penuh.

Selangor berehat enam hari, berbanding Terengganu yang berehat dua hari sebelum perlawanan seterusnya, jadi sudah pastinya beliau tidak mensia-siakan kelebihan itu untuk mencipta kemenangan, lebih-lebih lagi prestasi skuad merah kuning juga agak terumbang ambing.


Hargai sokongan MB, peminat

MALAM esok, Terengganu sekali lagi akan beraksi dengan Tampines Rovers, juara Liga S musim lalu untuk perlawanan keempat saingan AFC. Sudah pastinya kali ini tekanan lebih terasa, kerana penyokong masih belum dapat melupakan kekecewaan di gelanggang MBPJ.

Ditambah pula dengan kecederaan beberapa tonggak utama, sekali gus menjadikan moral pemain juga merudum. Ketika ini, hanya kekuatan mental yang perlu untuk kesebelasan wira kita memberi saingan sengit.

Ramai penyokong mahu Mat Zan ubah taktikal. Jangan terlalu bergantung kepada seorang pemain dan jangan kerah tenaga pemain yang sama, sampaikan ada pemain yang langsung tidak tersenarai dalam kesebelasan utama, meskipun Liga Super sudah memasuki perlawa­nan­ ke-12, dan ada pemain yang langsung tak berpeluang duduk sekejap di bangku simpanan.

Soal pemain import juga harus dipandang serius. Kita diberi kuota empat pemain import untuk satu pasu­kan, tapi Terengganu hanya daftar dua pemain, yang kemudiannya dikerah bersungguh-sungguh dalam setiap perlawanan.

Mengapa tidak mahu contohi Kelantan, dua import untuk Liga Super dan dua lagi hanya beraksi untuk Piala AFC. Sekurang-kurangnya mereka ada ruang bernafas dan jika ada kecederaan, kita masih ada pelapis yang boleh mempamerkan aksi cemerlang.

Tempoh pendaftaran pemain import sudah dibuka, dan bakal berakhir 16 April ini. Belum ada ura-ura Terengganu mahu daftar import baru, sedangkan sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said lantang bersuara mahukan keadilan diberi kepada Terengganu setelah kesilapan FAM memberikan pekeliling berhubung pemain import.

Jangan hanya bila MB bersuara, baru pengurusan hendak bertindak. Sudah banyak kali MB kita bersuara berhubung isu bola sepak. Dari soal harga tiket ‘nebeng’, sampai kepada soal bagi diskaun harga tiket.

Kemudian isu pemain import, lampu limpah dan prestasi pemain, semuanya MB sentuh. Sayang sungguh MB kita dengan prestasi bola sepak Terengganu. Mana ada menteri besar lain yang suka dan serius bercakap pasal bola sepak, hanya Ahmad Said yang bersungguh-sungguh. Memang beliau peminat nombor satu Skuad Penyu.

Apa pun, jadikan saingan Piala AFC sebagai medan untuk menimba pengalaman berharga. Saingan Liga Super pula masih panjang, pusingan kedua akan dilalui minggu depan.

Misi kita yang lebih penting, pertahankan kejuaraan Piala FA. Pastikan pertemuan dengan Sime Darby nanti memberi laluan mudah untuk kita melangkah ke final.

Siapa lawan di final, kita peteh habis-habisan. Tutup mulut-mulut pengkritik yang tidak mampu menyokong ketika rebah. Ingatlah, saat kita kecewa, pemain yang bermati-matian atas padang lebih-lebih lagi kecewa.

SINAR
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Team Selangor - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger