SELANGOR kembali bangkit daripada dua kekalahan apabila berjaya menewaskan Felda United 2-1 pada perlawanan ke-18 Liga Super di Stadium Shah Alam, malam tadi menerusi dua jaringan Azidan Sarudin.
Pada aksi malam tadi, Felda United berjaya menggegar gawang Selangor menerusi penyerangnya, Antoine Curier pada minit ke-19, namun jaringan itu dibatalkan pengadil kerana ofsaid.
Akibat prestasi kurang berkesan, pemain sayap kanan, Solihin Kanasian dikeluarkan jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim pada minit ke-28 dan digantikan dengan Amirulhadi Zainal.
Hasilnya pada minit ke-36, percubaan Amirulhadi gagal ditangkap kemas penjaga gol Felda United, Hamsani Ahmad, lantas Azidan yang berada di depan pintu gol pantas merembat kencang menggegar jaring untuk gol pertama Selangor.
Namun Felda United berjaya menyamakan kedudukan pada masa kecederaan separuh masa pertama apabila sepakan percuma lencong kaki kiri Farderin Kadir gagal diselamatkan penjaga gol Selangor, G Jeevananthan.
Bersambung babak kedua, Selangor terus menggandakan serangan untuk mencari gol pendahuluan.
Rembatan Safiq Rahim pada minit ke-45 berjaya ditepis keluar Hamsani manakala sepakan percuma Bosko Balaban seminit kemudian sekadar menggegar palang.
Namun pada minit ke-48, gol kedua Selangor akhirnya menjelma apabila hantaran Fitri Shazwan Raduwan dari sebelah kiri berjaya ditanduk cantik Azidan untuk menewaskan Hamsani.
Felda United tidak berputus asa untuk sekali lagi mencari gol penyamaan, namun sepakan percuma Abdul Ghani Rahman dari jarak 40 meter berjaya ditepis keluar Jeevananthan pada minit ke-56.
Peluang terbaik Felda United hadir pada minit ke-87 tetapi percubaan di depan pintu gol yang dilakukan Farid Ramli tersasar tinggi, manakala penyerang gantian, Nizad Ayub pula melakukan sepakan lemah pada minit ke-90.
P Gunalan memikul peranan selaku kapten pada aksi malam tadi memandangkan Amri Yahyah hanya dimasukkan pada minit ke-88 kerana mengalami sedikit kecederaan.
Saingan Liga Super berehat sebulan dan untuk aksi seterusnya, Selangor akan bertemu Sarawak di Stadium Negeri, Kuching pada 16 Jun depan.