SELANGOR DAPAT TONIK BARU

Written By Team Selangor on Rabu, 2 Mei 2012 | 3:52 PG


SELANGOR sesungguhnya sudah mendapat ‘tonik baru’ menjelang perlawanan menentang Negeri Sembilan dalam saingan Liga Super, Selasa ini.

Ini berpandu kepada kemenangan berturut-turut Selangor dalam dua aksi persahabatan menewaskan Sime Darby 2-1, Jumaat lalu dan skuad kebangsaan Sri Lanka 2-0, malam kelmarin yang mahu diterjemahkan pada aksi sebenar Liga Super.

Selepas menewaskan Johor FC 2-0 pada aksi ke-15 Liga Super, 17 April lalu, jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim berharap anak didiknya itu dapat melakar kemenangan berturut buat kali pertama musim ini apabila bertemu Negeri Sembilan di Stadium Shah Alam, Selasa ini.

“Sepanjang 15 perlawanan liga setakat ini, Selangor belum lagi dapat melakukan kemenangan berturut-turut. Insyaallah bertemu Negeri Sembilan nanti, kami cuba melakukannya kerana memiliki kelebihan beraksi di tempat sendiri.

“Penyerang import kami, Bosko Balaban kembali (semalam) selepas pulang bercuti ke Croatia dua minggu lalu tetapi saya tak bimbang dengan tahap kecergasannya kerana di sana dia berlatih bersama Dynamo Zagreb,” kata Irfan ketika ditemui selepas aksi bertemu Sri Lanka di Stadium Shah Alam.

Pada perlawanan itu, Selangor memperoleh dua gol pada babak kedua menerusi Amri Yahyah dan Wan Hoesne Wan Hussain. Irfan yang merehatkan tonggak kebangsaan bakal menurunkan kesebelasan utamanya pada aksi persahabatan terakhir bertemu MK Land di Padang SUK, Shah Alam, petang esok.

“Bertemu Sri Lanka, satu pendedahan terbaik buat pemain selepas berehat panjang. Mungkin ketiadaan beberapa tonggak utama menyebabkan rentak permainan kami sedikit terjejas. Tapi nampak peningkatan pemain simpanan untuk persaingan sihat merebut tempat,” jelas Irfan.

BERITA HARIAN
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Team Selangor - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger