SKUAD Liga Super Selangor menambah duka Sri Lanka yang dibelasah 6-0 oleh skuad kebangsaan Sabtu lalu, apabila menewaskan pasukan ranking ke-181 dunia itu 2-0 pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim tidak menurunkan penyerang import, Bosko Balaban serta empat pemain kebangsaan yang beraksi Sabtu lalu - Asraruddin Putra Omar, K Gurusamy, Bunyamin Omar dan G Jeevananthan, manakala Safiq Rahim hanya masuk pada lapan minit terakhir.
Sri Lanka yang membuat empat pertukaran berbanding kesebelasan ketika bertemu Harimau Malaya, hampir mengejutkan Selangor seawal minit ke-10 tetapi penjaga gol, Norazlan Razali cemerlang menepis cubaan berbahaya pemain sayap, Landa Hewage Kavindu.
Pada minit ke-18, hantaran jauh Ramez Dayoub tepat ke arah Solihin Kanasian yang melepasi perangkap ofsaid, namun rembatannya sempat dihadang penjaga gol Sri Lanka, Herath Mudiyanselage.
Bersambung babak kedua, Selangor hanya memerlukan seminit untuk memperoleh gol pertama hasil rembatan kemas kapten, Amri Yahyah pada minit ke-46 sebelum penyerang gantian, Wan Hoesne Wan Hussain mengesahkan kemenangan dengan sepakan kaki kiri cantik di depan pintu gol Sri Lanka untuk gol kedua pada minit ke-82.
BERITA HARIAN