SELANGOR 1 PKNS 0

Written By Team Selangor on Rabu, 27 Jun 2012 | 12:13 PTG

#foto: lensa Ayid
Selangor meneruskan rentak kemenangan selepas menewaskan PKNS 1-0 di Stadium Shah Alam malam tadi.

Jaringan ketua pasukan, Mohd Amri Yahyah pada minit-minit akhir separuh masa pertama sudah cukup untuk Selangor mencatat kemenangan keempat berturut-turut.

Kejayaan ini turut membolehkan Selangor terus mengekori rapat pasukan di tangga ketiga Perak yang telah pun beraksi lebih satu perlawanan.

Jurulatih Irfan Bakti terus menaruh kepercayaan kepada barisan yang sama seperti ketika menentang Sarawak dan T-Team sebelum ini.

Namun beliau terpaksa mengubah percaturannya apabila pemain tengah penuh lincah K Gurusamy mengalami kecederaan pada minit ke-16. Tempat Gurusamy digantikan pemain kebangsaan Mohd Bunyamin Umar.

Permainan Selangor banyak berkisar di bahagian tengah padang sebelum dipatahkan barisan pertahanan PKNS manakala pasukan pelawat kerap mengancam melalui serangan balas terutamanya di bahagian sayap kiri melalui Fazli Baharuddin.

Perlawanan berlangsung perlahan ketika kedua-dua pasukan bermain penuh berhati-hati sehinggalah ke penghujung babak pertama.

Ketika kedua-dua pasukan berkira-kira untuk menamatkan aksi separuh masa dengan keputusan terikat 0-0 muncul Amri yang bijak menerima hantaran Bosko Balaban di dalam kotak penalti PKNS sebelum meledakkan bola melepasi penjaga gol, Razi Effendi Suhit.

Di babak kedua Selangor seharusnya berterima kasih kepada penjaga gol Norazlan Razali yang bijak menghalang dua percubaan bahaya PKNS.

Tuan rumah juga mempunyai beberapa peluang menambah jaringan namun gagal dimanfaatkan. Keputusan 1-0 kekal sehingga wisel penamat ditiupkan pengadil.

Selangor akan bertandang ke Stadium Sultan Muhammad IV Jumaat ini untuk aksi seterusnya menentang Kelantan.

Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Team Selangor - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger