BARANGKALI sifat ‘tewas sebelum berjuang’ tidak pernah wujud dalam kamus pengendali Selangor, Irfan Bakti Abu Salim.
Meskipun skuad Gergasi Merah dilihat sedikit tempang apabila kehilangan khidmat pemain pertahanan, P. Gunalan menjelang pertemuan menentang Kelantan dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam ini, Irfan kekal optimis dengan kredibiliti anak-anak buahnya memburu kemenangan kelima berturut-turut.
Sebelum ini, Merah Kuning berjaya membenam cabaran Felda United 2-1, Sarawak 1-0, T-Team 5-0 dan terbaharu, menjinakkan PKNS 1-0 di gelanggang sendiri Selasa lepas.
“Gunalan tidak dapat diturunkan ketika menentang Kelantan (malam ini) gara-gara mengutip tiga kad kuning.
“Namun, saya percaya kami masih memiliki barisan pemain yang mampu melaksanakan tugas itu dengan baik.
“Saya sentiasa percaya dengan kewibawaan pemain saya, jadi ia (kehilangan Gunalan) bukan suatu masalah bagi Selangor,” katanya kepada Kosmo!.
Selain Gunalan, khidmat K. Gurusamy juga belum pasti dapat ditagih Gergasi Merah malam ini gara-gara dilaporkan mengalami kecederaan ketika menentang PKNS tempoh hari.
Malam ini, tugas meledak kubu The Red Warriors dijangka digalas oleh kapten Selangor, Mohd. Amri Yahyah bersama penyerang import berbisa, Bosko Balaban.
Mengulas lanjut, Irfan berkata, sasaran Selangor untuk menamatkan saingan liga di tangga ketiga musim ini dilihat amat cerah jika berjaya menjinakkan Sang Kijang malam ini.
“Ia suatu perkembangan positif buat skuad Selangor dan saya mahu meneruskan rentak kemenangan ini ketika menentang Kelantan.
“Saya yakin kami mampu melakar kemenangan kelima dan untuk itu, kami harus berkerja lebih keras bagi memperbaiki corak permainan kami di Kota Bharu nanti,” katanya.
KOSMO
KOSMO