
SHAH ALAM - Selangor berazam menamatkan badi kekalahan kepada Singapura dalam pertemuan Piala Sultan Selangor Ke-11 di Stadium Shah Alam pada 29 September ini.
Pengerusi penganjur Piala Sultan Selangor, Datuk Abd. Karim Munisar berkata, skuad Red Giants yakin mampu merampas piala yang dimenangi Singapura tiga tahun berturut-turut.
"Kebangkitan dramatik Selangor bakal dapat dilihat dengan menampilkan barisan pemain handalan seperti penyerang sensasi kebangsaan, Mohd. Safee Sali dan dua jaguh pasukan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
"Kami memandang serius perlawanan ini kerana kemenangan kali ini amat penting untuk merampas kembali Piala Sultan Selangor yang kali terakhir dimenangi pada 2008," katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.
Menurutnya, kesebelasan utama skuad yang dipilih kali ini merupakan pemain yang sudah biasa bermain untuk pasukan Selangor berikutan persefahaman yang serasi sesama mereka.
"Pemain yang dipilih mempunyai rekod permainan yang cemerlang selain memiliki sikap berpasukan yang tinggi," katanya.
Selangor terpaksa merelakan Piala Sultan Selangor dirampas Singapura sejak perlawanan edisi kelapan lagi apabila tewas 0-3.
Badi kekalahan berterusan pada perlawanan edisi kesembilan apabila dibelasah 0-6 oleh skuad negara jiran itu dan Selangor kalah lagi 0-1 pada saingan edisi kesepuluh akibat gol jaringan sendiri pemain pertahanan, Asrarudin Putra Omar.


