"Terpulang kepada pengurusan". Itu reaksi Jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim sekiranya Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mahu menjalankan siasatan mengenai kekasaran melampau dilakukan dua pemain mereka ketika bertemu The Red Warriors, Jumaat lalu.
Dua pemain terbabit, Mohd Amri Yahyah dan Mohd Bunyamin Umar didakwa melakukan kekasaran terhadap penyerang import Kelantan, Mohd Ghaddar namun gagal dikesan pegawai perlawanan bertugas pada malam berkenaan.
Irfan Bakti yang tidak melihat insiden berkenaan, bagaimanapun sudah mendapat penjelasan dari pada kaptennya, Amri di sebalik tindakannya itu. “Amri sudah jelaskan apa yang berlaku dan saya menyerahkan kepada pengurusan untuk jalankan siasatan sendiri berkenaan insiden itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung siasat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) yang dalam proses mendapatkan rakaman video perlawanansebelum membuat aduan rasmi kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Setiausaha Agung Kafa, Azman Ibrahim, berkata sebaik video dan surat aduan dihantar kepada FAM, pihaknya berharap badan induk bola sepak itu mengambil tindakan sewajarnya terhadap dua pemain terbabit.



