KEMENANGAN LONJAK MOTIVASI AMRI

Written By Team Selangor on Isnin, 3 September 2012 | 8:36 PG


PEMAIN berpengalaman Selangor, Amri Yahyah menyifatkan kemenangan 2-1 ke atas T-Team kelmarin menghidupkan peluang mara ke saingan suku akhir Piala Malaysia musim ini.

Amri yang membuat kemunculan pertama pada kempen kali ini selepas bebas daripada hukuman penggantungan tiga perlawanan hampir mencatat nama selaku penjaring, namun percubaannya sekadar menggegar palang.

"Alhamdulillah, kami berjaya meraih tiga mata penuh. Ini aksi pertama saya dan masih lagi tercari-cari rentak selepas dua minggu tidak bermain.

"Banyak lagi perkara perlu saya gandakan bagi mendapatkan kembali momentum seperti dahulu. Saya pasti gembira andai dapat jaringkan gol pada pertemuan tersebut, tetapi tidak ada nasib untuk bola menerjah jaring," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Kini, pemain kelahiran Tanjung Karang itu lebih bermotivasi dan berusaha keras bagi merebut barisan pemain utama menjelang baki dua perlawanan berdepan Pahang dan Sarawak.

"Untuk baki permainan ini, terserah kepada panel kejurulatihan sama ada menyenaraikan saya atau tidak. Saya sebagai pemain hanya mengikut arahan," katanya.

Pada aksi di Shah Alam kelmarin, Bosko Balaban meledak dua gol pada minit ketiga dan ke-28 sebelum anak didik Yunus Alif memperoleh gol sagu hati menerusi Fadzli Saari pada minit ke-80.

-SINAR-
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Team Selangor - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger