USAH LENA DIBUAI MIMPI

Written By Team Selangor on Selasa, 4 September 2012 | 8:36 PG


JURULATIH Selangor, Irfan Bakti mahu anak buahnya agar tidak dibuai mimpi lantaran 'Misi 33' yang dicanang pasukan Gergasi Merah dalam Piala Malaysia "masih bernyala."

Katanya, beliau tidak mahu anak buahnya mendabik dada kerana ‘Misi 33’ kali ini masih belum tamat.

“Perjuangan belum selesai, kita fokus satu persatu terlebih dahulu, lepas peringkat kumpulan, fokus suku akhir dan peringkat seterusnya.

“Selagi Piala Malaysia tidak berada dalam genggaman Selangor, selagi itulah ‘Misi 33’ tetap membara.

"Jadi, jangan terlalu yakin selagi belum melepasi peringkat kumpulan,” tegas Irfan ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.

Pada masa sama, Irfan juga tidak mahu terjerat dengan 1,001 helah Pahang apabila akan bertandang ke Stadium Darul Makmur malam ini.

"Pahang sudah semestinya mempunyai kelebihan apabila beraksi di halaman sendiri.

"Mereka pasti bersemangat untuk mencipta kemenangan sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah mereka musim ini.

"Tapi, kami tidak akan gentar dengan sorokan pasukan tuan rumah. Saya yakin para pemain mampu menangani situasi tersebut dengan baik.

"Apa yang penting, pemain perlu fokus dan buruan tiga mata malam ini akan terlaksana," katanya yang tetap optimis pasukan Selangor mampu menempah slot ke suku akhir.

The Red Giants kini menghuni tangga dua dalam Kumpulan D yang membezakan tiga mata dengan Pahang selaku pendahulu kumpulan sambil Sarawak yang mengutip empat mata ditangga ketiga menanti kunjungan T-Team di Stadium Kuching.

Seandainya Gergasi Merah Kuning tewas di Stadium Darul Makmur dan Bujang Senang mengutip tiga mata mengatasi Penyu Muda, slot suku akhir yang akan mengiringi Pahang dalam   Kumpulan D hanya akan ditentukan dalam perlawanan terakhir antara Selangor dan Sarawak di Stadium Shah Alam, 14 September nanti.

-SINAR-
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Team Selangor - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger