IRFAN MAKIN OPTIMIS

Written By Team Selangor on Sabtu, 29 Disember 2012 | 9:52 PTG



RENTETAN kejayaan menewaskan Sabah 3-0 dalam aksi persahabatan di Stadium Shah Alam baru-baru ini, jurulatih Selangor, Irfan Bakti semakin optimis mereka mampu mendakap sekurang-kurangnya satu trofi musim depan.

Jelasnya dengan kemenangan itu juga, beliau percaya anak buahnya kini telah bersedia untuk mengharungi Liga Malaysia apabila mereka bakal melayan kunjungan Negeri Sembilan dalam aksi pembuka tirai Liga Super di Stadium Shah Alam, 8 Januari depan.

"Ketika ini, persefahaman yang dibentuk pemain dilihat semakin serasi namun masih ada yang perlu diperbaiki terutamanya di bahagian tengah.

“Apapun, saya optimis kami mampu mencapai sesuatu musim depan kerana kami tampak kuat berbanding musim lalu,” katanya.

Selepas berdepan Sang Rusa dalam saingan Liga Super nanti, Selangor bakal berkunjung ke Stadium Jalan Besar, Singapura berdepan Lions XII (12 Januari) sebelum berdepan Terengganu di tempat lawan tiga hari kemudian.

Pada masa sama, ketika ditanya kemunculan pasukan Johor Darul Takzim FC yang dilihat mampu memberi ancaman kepada semua pasukan dalam saingan musim depan, Irfan bagaimanapun tidak gusar dengan kekuatan Johor yang dilimpahi pemain bertaraf bintang.

"Bagi saya, matlamat Selangor untuk merangkul sekurang-kurangnya satu trofi pada musim depan tidak akan terjejas.

"Biarpun dengan kehadiran Johor yang berwajah baru, saya langsung tidak bimbang, " katanya.

Mengulas mengenai ketua pasukan yang baru untuk menggantikan tempat Safiq Rahim, Irfan mengakui belum membuat sebarang keputusan dan perkara itu masih diperbincangkan dengan pihak pengurusan.

"Buat masa ini kami belum mencapai kata putus lagi, mungkin pada minggu depan akan mengumumkan siapakah pemain yang akan memegang lilitan ketua pasukan," katanya.

-SINAR-
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Team Selangor - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger