JURULATIH Selangor, Irfan Bakti Abu Salim optimis pasukannya berada di landasan terbaik dalam memburu kelompok dua teratas Liga Super selepas menumpaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2-1 di Stadium Shah Alam, kelmarin.
Begitu pun, anak didiknya perlu lebih bekerja keras dalam baki tiga perlawanan selepas ini agar misi disasarkan untuk menamatkan saingan dalam kedudukan kedua terbaik akan tercapai.
“Mental pemain masih belum kuat, tetapi saya ada memberitahu mereka yang kita perlu mendapatkan sekurang-kurangnya tiga kemenangan dan seri dari empat perlawanan terakhir.
“Keputusan ini sekali gus akan membuka cabaran di tempat kedua dan ketiga, dan ia bergantung pada perlawanan seterusnya,” katanya.
Irfan Bakti juga lega berjaya meraih kemenangan meskipun terpaksa beraksi tanpa penjaring utama, Francis Forkey Doe yang digantung satu perlawanan.
“Saya rasa ini keputusan adil buat kami. Apabila kami dibolosi pada penghujung babak pertama, kami dapat tebus dengan gol kemenangan pada penghujung babak kedua.
“Memang corak permainan kami tidak baik, kami terlalu bersemangat dan senang melakukan kesilapan. Pemain harus sedar bahawa kita tidak boleh tergesa-gesa kerana perlawanan mempunyai 90 minit," katanya.
-SinarHarian-