
SELANGOR berjaya mendapatkan khidmat penyerang Sabah, Rozaimi Abd Rahman selaku pemain pinjaman pertama untuk saingan Piala Malaysia musim ini yang akan bermula hujung bulan depan.
Ini berikutan Sabah tidak layak ke Piala Malaysia selepas sekadar menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua tercorot, ke-13. Hanya 12 teratas Liga Super dan empat teratas Liga Perdana layak.
Nama Rozaimi, 20, mula menjadi sebutan selepas pemain berasal dari Bongawan, Sabah itu muncul penjaring terbanyak Kelayakan Piala Asia B-22 2013 di Yangon, Myanmar dengan meledak 10 gol buat skuad B-22 negara.
Sepanjang saingan Liga Super musim ini, Rozaimi lebih banyak diletakkan di posisi sayap kiri, namun dia beraksi sebagai penyerang ketika diturunkan untuk skuad Piala Presiden serta skuad B-22 negara.
Rozaimi akan mula menyertai latihan bersama pasukan Selangor sebaik selesai kem latihan pusat skuad kebangsaan bermula Isnin depan bagi menghadapi aksi persahabatan menentang Arsenal dan Manchester City.